Exercise BORNEO WAR 1/21 Demonstrates Readiness of the Malaysian Navy Eastern Fleet
LATIHAN PERANG BORNEO 1/21 PAMER KESIAGAAN ASET ARMADA TIMUR
Kota Kinabalu, 28 Jan - Perang Borneo 1/21 melibatkan KD KEDAH, KD KERIS, KD PARI dan KD GANAS telah dilaksanakan di Perairan Laut China Selatan. Turut menyertai latihan kali ini adalah Helikopter EC725 milik TUDM dari Pangkalan Udara Labuan.
Membuka tirai eksesais dan latihan bagi tahun 2021, latihan ini dilaksanakan bertujuan menguji ketangkasan dan kesiagaan aset-aset TLDM di bawah pemerintahan Armada Timur, selain turut menguji kecekapan warga dalam melaksanakan konsep peperangan, navigasi dan ilmu kelautan.
Evolusi yang dilaksanakan meliputi pelbagai aspek seperti Melawan Kebakaran dan Mengawal Kebanjiran (MKMA) di atas kapal, latihan menembak dan latihan pemindahan semasa di laut.
Latihan kali ini juga merupakan latihan julung kali yang turut disertai oleh Yang Berbahagia Laksamana Madya Dato’ Sabri bin Zali sejak beliau mengambil alih pemerintahan Armada Timur, Disember lalu. Turut serta adalah Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Sazalee bin Shoib.
Walaupun situasi pandemik COVID19 sedikit sebanyak merencatkan perancangan eksesais dan latihan 2021, latihan ini tetap dilaksanakan dalam skala kecil dengan amalan SOP ketat bagi mengekalkan momentum anggota dan kebolehupayaan aset TLDM di Armada Timur. Ia turut menjadi pemangkin untuk menyediakan armada yang kompeten dan sentiasa bersedia dan terlatih tanpa mengira situasi aman mahupun ketika perang.
Penafian : Kesemua warga #NavyPeople yang terlibat telah disahkan sihat dan bebas daripada gejala sebelum dibenarkan untuk menyertai Perang Borneo ini.
Tentera Laut Diraja Malaysia
Angkatan Tentera Malaysia
Kementerian Pertahanan Malaysia